Thursday, November 12, 2009

Sindrom Paranoid



Saya bukan seorang doktor perubatan, jauh sekali seorang pakar psikologi, tetapi dalam entree kali ini saya nak bercerita tentang sindrom ini. Sindrom di mana seseorang berdepan suatu 'personality disorder'... perasaan tidak percaya kepada orang di sekelilingnya. Orang yang berdepan dengan sindrom ini biasanya suka bersyak wasangka dengan orang lain. Mereka suka mencari apa-apa maksud tersorok yang ada pada orang lain dan kerana itu, setiap kebaikan yang dilakukan orang lain kepada mereka tidak akan diterima dengan baik pula. Bagi mereka, orang-orang ini ada motif jahat tertentu. Seterusnya, bagi orang yang mengidap sindrom paranoid, mereka akan berjauh dengan orang lain dan selalunya sangat 'dingin' sifatnya!

Huh! siapa yang selalu macam ini ya? kalau ikut apa yang saya baca, siapa-siapa pun boleh dapat sindrom 'syak wasangka'ini. Tetapi jangan hairan kalau orang yang biasa terkena sindrom ini merupakan mereka yang bijak pandai. Mungkin tanpa disedari, kerana mereka pandai, mereka tidak mampu melihat orang lain boleh memberi nasihat dan boleh juga berkongsi perasaan dengan mereka. Biasanya juga, orang yang mengidap sindrom ini, pernah melalui sesuatu yang meninggalkan kesan negatif kepada mereka. Mungkin latar belakang keluarga atau mungkin juga pengalaman hidup yang dilalui mereka!

Mungkin kerana itulah kadang-kadang kita melihat ada pasangan yang payah nak hidup bersama, kerana perasaan 'syak wasangka' sentiasa ada. Perasaan ini sebenarnya boleh membunuh kesetiaan yang dihulurkan. Kadang-kadang, mereka payah nak ngam dengan sesiapa pun, termasuk kawan baik, apatah lagi orang yang disayangi!

Wednesday, November 11, 2009

Memori Silamku



Tuesday, November 10, 2009

Lagu-lagu Lama



Lagu-lagu lama sering membawa kita kembali kepada nostalgia lama. Mungkin kerana itulah banyak lagu-lagu lama mampu bertahan dan terus menjadi evergreen. Saya ni bukanlah peminat lagu-lagu Melayu Asli, tetapi ada beberapa lagu, bagi saya memang sedap dan mendayu-dayu.Kalau tak percaya, pergilah ke You Tube dan dengar kembali lagu-lagu yang saya maksudkan. Antaranya ialah lagu Datuk Sharifah Aini... 'Di Pinggir Kayangan' dan 'Penawar Rindu'. Saya juga senang dengan lagu 'Bunga Tanjung'. Suara Sharifah Aini memang lunak dan sedap didengar. Saya tak pernah mendengar Sharifah Aini menyanyi secara live, tetapi saya pernah dengar biduanita Saloma, Aishah dan juga Hetty Koes Endang menyanyi secara live... memang meremang bulu roma apabila mendengar mereka menyanyi.

Saya memang suka sangat-sangat suara Aishah dan salah satu lagu favourite ialah 'Pulanglah'... lagu Hari Raya. 'Janji Manismu'pun sedap. Suara Aishah memang power! malah, memang payah nak dapat suara power macam suara Aisah tu.

Wajah Aishah dan Hetty koes Endang, banyak persamaan dan kedua-dua mereka tidak tinggi, tetapi kedua-duanya mempunyai suara yang power giler!

Kalau Hetty, saya suka sekali lagu dia yang berjudul 'Kasih', saya boleh dengar berulang-ulang kali. Sangat romantik dan syahdu.

Dalam pada itu, ada satu lagu dangdut yang saya suka... dangdut original dari negara seberang, 'Kopi Dangdut' nyanyian Fahmi Shahab. Memang seronok dengar lagu tu... rasa macam dulu-dulu.

Apa lagi, jom layannnn!

Monday, November 09, 2009

Identiti Diri



Pada entree kali ini, saya ingin bercerita tentang luahan hati seorang kenalan, yang tiba-tiba sahaja dapat tahu yang dia sebenarnya adalah seorang anak angkat!

Umur kenalan saya ini sudah mencecah 30-an, tetapi masih belum berkahwin. Katanya, selama hidupnya, tak pernah sekalipun terlintas di fikiran atau di hati, yang dia sekadar anak peliharaan sahaja. Katanya, ibu dan ayahnya membelanya bagaikan menatang minyak yang penuh. Tak pernah terdengar 'gosip' atau terjadi apa-apa yang boleh mendetikkan hatinya tentang kedudukannya itu. Perkara itu berbangkit, apabila ayahnya meninggal dunia dan kakaknya mahu menikah. Ketika itu, kerana dia merupakan anak lelaki tunggal, sangkanya dialah yang akan menjadi wali untuk menikahkan kakaknya. Tiba-tiba, pak ciknya yang datang dari utara telah menjadi wali.

Kenalan saya itu hairan dan merungut kepada ibunya. Semasa itulah cerita tentang 'anak angkat' itu berbangkit. Dia terkejut teramat sangat. Tiba-tiba sahaja dia terasa terasing, sedangkan dari dulu lagi tak pernah perasaan seperti itu datang kepadanya.

Sekarang ini, kenalan saya sedang berusaha untuk mencari identiti dirinya. Dia ingin tahu dia anak siapa. Siapakah ibu bapanya dan macam-macam lagi yang dia ingin tahu. Katanya, sebagai insan mahluk Allah SWT, dia ingin tahu dia datang dari ibu bapa yang seperti mana.

Saya bersimpati kepadanya, kerana saya tahu perasaannya itu. Kalau sejak kecil lagi dia sudah tahu tentang dirinya itu, mungkin tidaklah terluka sangat hatinya. Mungkin dia sudah mampu untuk mengawal perasaan.

Siapa pun, pasti ingin mengenali identiti diri. Kalau tidak, hati akan terasa kosong!

Saturday, November 07, 2009

Selera Lelaki Melayu Sudah Berubah?



Muna bercerita kepada temannya, "Aku nak kahwin tak lama lagi, Mel."
"Dengan Fendi lah ni?"
"Kau tahu kan, aku dah lama berkawan dengan dia."
"Asal kau happy, okeylah tu."
"Aku happy dan aku tahu dia pun happy. Cuma aku tak tahulah famili dia macam mana."
"Kenapa? sebab umur kau ke?"
"A'ah. Aku tua lima tahun daripada dia."
"Apa salahnya? kau tak nampak tua pun. Muka macam budak-budak, okeylah tu."
"Aku tahu. Sebenarnya kan , Mel... aku tak tahu kenapa dia selesa berkawan dengan aku? nak kata aku ni cantik sangat, aku ni biasa-biasa aje."
"Dia nak isteri yang matang, Muna.Dia senang macam tu. Ramai lelaki hari ini merasakan yang mereka perlukan isteri yang jauh lebih matang daripada mereka. Dia suka dimanja-manjakan. Kalau isteri muda sangat, tahu-tahulah... macam-macam yang dia demand. Dah tu, mengada-ngada pulak. Letih agaknya melayan kerenah perempuan yang mengada-ngada ni."
"Yalah... mungkin sebab tu agaknya dia selesa berkawan dengan aku. Aku bukan jenis demanding."
"Kau kenal dengan Hakim tak? Hakim yang pernah berkawan dengan Aisyah tu? Hakim baru saja kahwin... dengan Lisa. Lisa tu janda anak tiga. Lisa juga tua daripada Hakim, tua lapan tahun.Okey apa. Hakim nampak happy. Dia kata pada kami,"Aku tak kisah kahwin dengan janda ni. Aku rasa senang nak urus, sebab dia banyak bertolak-ansur, tak ada nak mengarah aku itu ini.Yang bestnya, dia layan aku, dia manjakan aku... aku nak apa lagi? mestilah happy."
"Kau rasa, Mel...trend sekarang memang macam tu ke?"
"Lelaki dah ubah cita rasa? mungkin juga. Lelaki Melayu hari ini, dah tak macam dulu-dulu lagi. Stail hidup hari ini dah berubah,jadi selera mereka pun berubah."
"Yalah...mungkin betul kata-kata kau ni."

Friday, November 06, 2009

Kegagalan Yang Membahagiakan


Ada orang di dunia ini, dilahirkan sebagai insan yang selalu menang. Dan kerana itu,dia tidak tahu bagaimana hendak kalah. Baginya,kekalahan itu adalah satu kelemahan yang teramat dahsyat. Dia hanya mahukan kedudukan yang terletak di depan dan teratas. Kalau tertinggal, dia tidak mampu untuk mengendalikan hati yang kecewa. Baginya, hidup mestilah berjaya, tidak mungkin boleh gagal!

Kalau anda merupakan orang yang jenis ini, mungkin anda juga merupakan orang yang malang.Kerana anda tidak tahu bahawa sebenarnya kekalahan dan kegagalan itulah yang membuat seseorang itu lebih kuat, lebih tabah dan mampu untuk berdepan dengan apa-apa jua rintangan.Janganlah kita melihat kegagalan itu sebagai satu kelemahan kerana setiap kegagalan itulah yang akan membuat kita lebih kuat untuk menjadi orang yang menang dan berjaya.

Setiap kegagalan akan mendatangkan perubahan dalam hidup kita, insya-Allah. Kita akan ubahkan perspektif kita dan kerana itu, kita akan berusaha untuk mengatasi kejatuhan yang menimpa kita itu.

Janganlah kecewa kalau kita gagal hari ini dan jangan biarkan kegagalan itu menghancurkan masa depan kita.Bangkitlah, fikirkan strategi yang boleh mengubah, yang penting kita mestilah usahakannya!

Jadilah manusia yang tidak takut untuk gagal. Kalau kita takut mencuba, itulah kegagalan yang sebenarnya. Banyak yang jadi kaya-raya dan berjaya dalam hidup dek kerana pernah tempuhi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.

Life is beautiful... jangan takut untuk menikmatinya.Insya-Allah, sekalipun kita pernah gagal atau jatuh tersungkur, itulah yang akan datangkan kebahagiaan kepada kita.

Thursday, November 05, 2009

Ending yang Positif


Kebetulan, saya mendapat e-mel daripada pembaca-pembaca yang menceritakan kisah hidup mereka. Mungkin sebagai wanita, kita tak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai dugaan hidup. Kalau tidak semasa kanak-kanak, mungkin semasa remaja, atau mungkin juga selepas berumah tangga. Tuhan Maha Adil... setiap insan akan diduga dan tahap dugaan-Nya itu mungkin seimbang dengan kemampuan insan itu juga.Cuma mungkin kita yang tidak sedar.

Kemurungan merupakan satu penyakit di mana lebih ramai orang perempuan yang mengidapnya. Orang perempuan mudah dilanda murung, mungkin juga kerana perubahan hormon. Ada di antara kita, yang payah mengatasi perasaan tertekan yang kadang-kadang terpaksa berdepan dengan kita.

Ada remaja yang sukar berdepan dengan tekanan ibu bapa, ada yang tak tahu membawa diri dalam masyarakat,kadang-kadang pula tak pandai nak mengendali hati dan jiwa. Bila dewasa, masih payah nak 'handle' perasaan. Bila tertekan, mereka jadi kucar-kacir. Ingatkan bila dah kahwin boleh jadi okey, ramai juga yang masih tak okey. Malah, ramai yang berputus asa dengan perkahwinan mereka.

Saya percaya, keadaan seperti inilah yang membuatkan ramai orang perempuan membaca, terutama sekali novel cinta. 'ESCAPISM' merupakan tujuan utama mereka. Tapi salah ke? kalau itu menjadikan terapi untuk membuatkan seseoarng itu lega dan tenang... saya tak rasa ia salah. Malah, ia sangat-sangat membantu. Biar mereka tahu ada orang lain juga mengalami pelbagai masalah dalam dunia ini.

Walaupun novel cinta membawa kepada 'ending' yang bahagia, apa salahnya? bukankah itu yang kita carikan dalam hidup ini? Kebahagiaan.Biarlah semangat positif mencari kebahagiaan tersemat dalam jiwa kita. Ini adalah lebih baik daripada sikap negatif yang mungkin ada pada sesetengah orang.

Yakinlah, kita boleh mencapai kebahagiaan, insya-Allah.

Wednesday, November 04, 2009

Rugi Ke Baca Novel Cinta?


Ada orang mengatakan bahawa apabila kita membaca novel, terutamanya novel-novel bertemakan cinta, kita sebenarnya membuang masa. Tak ada faedah yang kita dapat, sekadar hiburan kosong semata-mata. Betulkah tuduhan seperti ini?

Sebenarnya terpulanglah kepada diri kita untuk menilainya. Kadang-kadang,kita membaca mungkin buku-buku ilmiah, buku-buku serius misalnya tentang sejarah, atau mungkin tentang sesuatu pendapat, atau mungkin juga buka agama, selesai baca, kita bertanya diri sendiri, apakah kesan pembacaan itu kepada diri kita? mungkin ada ilmu yang kita perolehi, fakta baru, nasihat, mesej, ajaran dan macam-macam lagi.

Apakah novel tidak mampu melakukan semua itu? terpulanglah kepada penulisnya dan bagaimana pula pembacanya menilainya. Penulis yang bijak akan selitkan pelbagai mesej penting yang sesuai dijadikan panduan pembacanya. Penulis yang bijak akan mengaturkan mesej agar pembacanya tidak lupa kepada kebesaran Tuhan.

Ketenangan serta 'hiburan' yang ada dalam novel itu sendiri dapat merelakskan pembacanya dan ini merupakan satu terapi yang tiada nilainya. Jalan cerita dalam novel juga biasanya banyak teka-teki dan ini membuatkan pembacanya berfikir-fikir dan tentunya tidak menjumudkan daya pemikirannya.

Banyak penulis menyelitkan fakta-fakta menarik, mungkin ada kaitan dengan kerjaya karakter dalam novel, latar tempat dan pelbagai lagi yang merupakan maklumat baru buat pembacanya. Yang penting, novel 'bertema cinta' mampu memberi injection kepada mereka yang terasa kosong dan sunyi. Kekosongan jiwa dan kesunyian diri boleh mencederakan seseorang itu... dan kadang-kadang membaca novel dapat menepis segala perasaan yang terdera itu!

Apa-apa pun bagi saya, jadilah orang yang bijak... yang tahu mengambil apa-apa yang baik dan buangkan apa-apa yang kita rasa tidak sesuai untuk diamalkan. Jadilah orang yang rajin membaca agar hidup kita sentiasa teransang.

Tuesday, November 03, 2009

Bersih Di Luar Bersih Di Dalam


Awal petang itu, sekitar 2.20 petang, saya sedang menunggu anak bongsu tamatkan waktu sekolah di depan pintu masuk sekolah. Kebetulan, sebuah sekolah rendah juga terletak tidak jauh dari sekolah anak saya ini. Sedang saya duduk-duduk dalam kereta sambil menunggu, tiba-tiba saya terlihat seorang kanak-kanak lelaki sekitar 10 tahun, yang sangat 'happy' kerana ibunya sudah tiba untuk menjemputnya. Anak tadi, yang sedang minum air, terus sahaja menghumban bekas airnya (gelas plastik) di kawasan padang yang berdekatan lalu terus sahaja membuka pintu untuk masuk ke dalam kereta. Ibunya tadi (bertudung litup), relaks sahaja dan langsung tidak menegur perbuatan anaknya itu. Memang bersepah sampah sarap (plastik minuman) di kawasan itu. Saya percaya budak-budak sekolah yang mencampaknya dan mengotorkan kawasan di depan sekolah.

Saya tidak faham kenapa kanak-kanak dibiarkan melakukan pencemaran alam seperti ini? sungguh menyedih dan memalukan. Dalam Islam, kebersihan adalah sangat penting. Mengapa agaknya ibu bapa tidak mengajar anak mereka untuk menjaga kebersihan? Mungkinkah bagi mereka kawasan itu bukan rumah mereka, jadi biarkan sahaja? kalau di luar kotor, bagaimana pula rumah mereka?

Bagi saya, anak-anak mesti dididik dari kecil lagi. Ajarlah mereka supaya jangan membuang sampah merata-rata. Buang dalam tong sampah. Kalau tak ada tong sampah, simpan dan kemudian buang dalam tong sampah! Kebersihan tandas pun begitu. Di rumah lagi ibu bapa sepatutnya mendidik anak-anak, supaya mengguna tandas dengan betul. Jangan biarkan tandas berbau!

Kalau di rumah mereka tak tahu menjaga kebersihan, jangan haraplah di sekolah mereka akan menjadi orang yang bersih. Mungkin kerana itu juga, kita jarang-jarang melihat atau terjumpa tandas yang bersih di sekitar kawasan surau dan masjid. Kenapa begitu? bukankah itu tempat kita mengerjakan sembahyang? takkanlah kita hanya jaga tempat solat, tetapi tandas kita biarkan kotor?

Pagi-pagi lagi saya dah membebel, tetapi memang saya terkilan. Saya tak kisah kalau keadaan sesebuah rumah itu tidak teratur atau pun kelihatan daif. Tetapi saya tak suka kalau sampah dibiarkan merata-rata tempat, berbau busuk dan tandasnya berbau!

Ajarlah anak-anak kita supaya jadi orang yang pentingkan kebersihan. Kalau bersih di luar, insya-Allah hatinya juga bersih. Tetapi kalau di luar kotor, bayangkanlah di dalam!

Monday, November 02, 2009

Di Manakah Kau Suraya?


Pernahkah anda membaca novel saya yang berjudul 'Bunga-Bunga Kemboja'? Kisah Nabil, Nur Qahira dan juga Nadya. Nur Qahira atau Chaya merupakan gadis kacukan Kemboja-Melayu, ibunya Melayu tetapi ayahnya berketurunan Kemboja yang asalnya bukan Islam. Chaya dibesarkan datuk dan neneknya dalam agama yang berbeza daripada agama asalnya, iaitu Islam. Kisah Chaya atau Nur Qahira ini, saya ambil dari kisah benar seorang teman yang sememangnya berasal dari Johor. Dalam cerita benar ini, anaknya itu bernama Suraya dan bekas suaminya itu pula berasal dari Burma atau Myanmar.

Kami bertemu dengan kawan kami ini semasa kami tinggal di England dulu. Dia dan suaminya bertemu dan kahwin di sana,beberapa tahun kemudian, mereka datang lagi ke England bersama anak mereka itu. Saya percaya, Suraya kini berusia dalam 24 atau 25 tahun... namun kami dah lama tidak menemuinya lagi. Anak gadis itu, memang sangat cantik. Ibunya merupakan seorang yang sangat cantik. Namun, ibu bapa Suraya telah bercerai.Ibunya pulang ke Malaysia (bekerja sebagai pensyarah). Pada mulanya Suraya tinggal dengan ibu, namun sesuatu terjadi, tahu-tahu Suraya sudah berada di Myanmar. Kini, kami sudah tidak tahu Suraya berada di mana... setahu kami, dia tidak lagi berada dengan ibunya, tetapi terus tinggal di Myanmar dan ada kala berada di UK.

Saya percaya memang banyak cerita benar yang sebegini... perkahwinan campur, satu orang Malaysia dan satu lagi orang luar. Memang malang bagi kanak-kanak yang terpaksa berpisah dengan ibu bapa mereka dan bertambah malang sekiranya agama mereka juga hilang dek kerana keadaan tertentu yang memaksa mereka berada dalam situasi yang tak menentu itu.

Hari ini, saya masih teringatkan kanak-kanak comel yang bernama Suraya itu. Apakah nasib dia, saya tidak tahu kerana kami tidak lagi mendapat berita tentangnya. Mungkinkah satu hari nanti, dia juga akan jadi seperti Nur Qahira... bertemu dengan cahaya yang akan memulangkannya kepada agama asalnya, iaitu Islam? Saya sentiasa doakan untuknya. Insya-Allah.

Sunday, November 01, 2009

Panggilan Buat Kekasih



'ABANG'? panggilan buat kekasih lelaki yang menjadi favourite kekasih perempuan Melayu. Biasanya, sang isteri akan menggunakan panggilan ini buat suami mereka.Saya bertemu dengan sepasang suami isteri, suaminya orang Arab (dari Mesir), isterinya Melayu. Mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi si isteri panggil suaminya 'Abang'. Very sweet and loving.

Banyak juga isteri Melayu yang suka memanggil diri sendiri 'Ayang' bila bercakap dengan suami.Mungkin si suami memanggilnya 'Sayang'. 'Sayang' semestinya merupakan panggilan favourite buat 'couple' Melayu. Mungkin antara yang paling romantik. Bagi sayalah... hehe

Saya pernah bergurau dengan menantu saya (yang berbangsa Uzbek), tentang panggilan isteri buat suami yang menggunakan 'abang'. Dia berkata kepada saya, "Why called 'brother'?" Nak tergelak juga, kan? A'ah... kenapa panggil 'Abang'? mungkin kerana panggilan itu menunujukkan hormat seorang perempuan buat suaminya.

Lain-lain panggilan yang saya sering dengar ialah 'baby','darling', 'honey', ada juga panggil 'dear'. Masa dulu-dulu, isteri Tok Guru Quran saya memanggil suaminya 'Dia', bunyi macam 'dear' jugak... hehe

Jadi... apa panggilan 'favourite' anda semua?

Saya suka 'sweetheart' (walaupun saya sendiri tak guna buat suami), 'princess'... biasanya saya gunakan untuk kanak-kanak,termasuk anak-anak saya. Saya guna 'sayang' buat semua yang saya sayang... termasuk teman-teman, pembaca-pembaca dan orang-orang yang jauh lebih muda daripada saya.

Saturday, October 31, 2009

Membaca Hatinya


Apa yang kita lihat pada seseorang itu? wajahnya ke, warna kulitnya ke, matanya ke, cara dia bercakap ke? atau apa? kalau kita belum betul-betul mengenali orang itu, tentu kita tak boleh nak komen hati budi, kan? takkan nak agak-agak saja.Boleh agak-agak ke? kadang-kadang, dari air mukanya kita boleh agak dah. Kadang-kadang dengan cara dia bercakap, kita boleh juga membaca hatinya.

Pernah seorang teman bercerita. Anak lelakinya hendak mencari teman yang boleh dijadikan teman hidup. Adalah orang tu pula, nak rekomenkan anak perempuannya. Anak perempuan orang itu memang cantik. Tinggi, mata hidung semuanya terletak, kulit pun putih melepak. Tak ada yang tak elok dari segi fizikalnya. Dikenalkanlah... kedua-dua ibu pun ikut sekali semasa keluar minum-minum di tempat yang diaturkan.

Setelah bertemu, mereka pun pulang. Teman saya pun bertanyalah dengan anak lelakinya. "Macam mana?"
Katanya, "Dia cantik... tak ada yang kurang. Tapi saya tak berkenan."
"Kenapa?"
"Saya tak suka cara dia bercakap. Mengada-ngada... nampak sangat perasan yang dia cantik. Lagipun, saya tak rasa dia minat pada saya. Biarlah, mak."
Esoknya, ibu perempuan pula bertanya pada teman saya itu, "Macam mana? okey ke anak awak?"
"Anak saya okey, tapi... biarlah dulu ya. Esok-esok kita tengok macam mana." Itulah katanya.
Memang tak menjadi. Akhirnya si lelaki mencari orang lain yang lebih sesuai dengan cita rasanya. Budak perempuan itu pula, masih tercari-cari...